Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga laporan telah diterima polis berkaitan penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang mendakwa dikurung dan dipaksa meredah laluan berbahaya tanpa dokumen sah sebaik tiba di Arab Saudi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, laporan berkenaan dibuat oleh ahli keluarga mangsa yang masih berada di tanah air.

Dua laporan telah diterima di Mantin, Negeri Sembilan, manakala satu lagi di Ayer Hitam, Johor.

“Perkara ini sedang diteliti secara serius oleh JSJK dan siasatan melibatkan pelbagai aspek. Namun masih terlalu awal untuk menyimpulkan terdapat unsur penipuan rentas sempadan.

“Keterangan dan bukti sedang dikumpulkan bagi mengenal pasti sama ada wujud kerjasama antara sindiket tertentu dengan ejen yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak polis juga masih menunggu kepulangan semua mangsa ke tanah air bagi merakam percakapan dan mengambil tindakan susulan.

Susulan tiga laporan itu, JSJK telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Siasatan kini tertumpu kepada pengesanan individu atau agensi tempatan yang mungkin bertindak sebagai ejen pemudah atau pengantara bagi menawarkan pakej haji berkenaan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menyenarai hitam mana-mana syarikat yang menawarkan pakej haji tanpa kelulusan,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa langkah itu penting bagi mengelak lebih ramai orang awam daripada menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan dengan agensi berautoriti sebelum menerima sebarang tawaran berkaitan haji.

“JSJK amat menghargai kerjasama media dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat bahawa hanya individu yang memiliki visa haji dibenarkan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.

“Kami akan terus memberi komitmen dalam mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memperdaya jemaah,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa seramai 47 jemaah warga emas dari Malaysia menjadi mangsa penipuan sebuah agensi haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Sebaik tiba di Jeddah, kesemua jemaah terbabit dipaksa berjalan kaki meredah kawasan berbahaya untuk memasuki Makkah secara haram kerana tidak memiliki visa haji yang sah.

Salah seorang waris mangsa, Sharifah Azzahra, memaklumkan bahawa ibu bapa dan ibu saudaranya berlepas ke Arab Saudi bersama ejen tersebut pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast