KUANTAN – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 2,673 aduan dan maklumat berkaitan tatakelakuan warga polis daripada pebagai pihak bagi tempoh Januari sehingga 31 Mei tahun ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, hasil siasatan awal ke atas aduan dan maklumat itu membawa kepada siasatan ke atas 2,076 anggota PDRM.
“Dalam tempoh sama, seramai 492 pegawai polis dan pegawai awam telah dijatuhkan hukuman tatatertib, di mana seramai 59 anggota PDRM telah dijatuhkan hukuman buang kerja.
“Statistik mereka yang dijatuh hukuman tatertib ini adalah juga melibatkan kesalahan yang disiasat atau dilakukan pada tahun sebelum tahun 2025.
“Dalam tempoh yang sama juga, seramai 671 telah ditahan kerja dan seramai 146 kini digantung kerja,” katanya dalam ucapan majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran,hari ini.
Hadir pada majlis, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.
Menurut Azri, pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal-hal melibatkan jenayah dan tatatertib yang memerlukan warga PDRM dikeluarkan daripada perkhidmatan aktif dan tidak berhadapan dengan orang awam.
Beliau berkata, pihaknya menerima 30 aduan dan maklumat menerusi Aplikasi Aduan JIPS PDRM yang baru dilancarkan pada 4 Jun lepas.
Justeru, beliau menyeru mana-mana pihak yang mahu menyalurkan aduan serta maklumat berhubung kesalahan penyeliaan atau tatatertib melibatkan anggota polis agar berbuat demikian menerusi platform tersebut. – MalaysiaGazette
















