KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkongsi keluhan para guru yang bimbang masih banyak silibus belum diselesaikan meskipun ketika ini sudah memasuki separuh tahun persekolahan.
Dakwa beliau, banyak program di sekolah dan di luar sekolah yang menyebabkan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang dirancang tertangguh.
Apatah lagi, kata beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM, jumlah hari bagi PdPc tahun ini lebih pendek memandangkan sesi baharu persekolahan tahun depan akan bermula pada Januari 2026.
“Mungkin ada yang akan kata, Cikgu tak semestinya habiskan semua silibus”.
“Itu menunjukkan mereka tak faham kerja guru. Kalau tak habiskan silibus tahun ini, siapa nak sambung tahun depan? Cikgu tahun depan nak mula di mana?
“Silibus sekolah kita dibina berturutan. Mana boleh potong ikut suka. Lainlah kurikulum kita berkonsepkan tematik seperti Finland. Cikgu yang rancang dan susun ikut keperluan sekolah masing-masing.
“Kalau tak habiskan silibus, cikgu kena jawab dengan PGB. Kena jawab dengan ibu bapa. Silap -silap kena jawab kepada PPD. Siapa nak cari masalah?” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Anuar, dalam situasi masih banyak silibus yang tertangguh, apa yang mungkin terpaksa dibuat guru adalah mengadakan kelas ekspres atau apa yang disifatkan beliau `mengajar asal siap’.
Katanya, guru juga akan mengajar dengan laju dengan matlamat silibus dapat dihabiskan, sekali gus boleh menyebabkan ramai murid akan ketinggalan.
Ujar beliau, bagi murid daripada golongan kaya mungkin tidak berdepan masalah kerana ibu bapa mereka boleh menghantar ke kelas tuisyen.
“Apa jadi pada murid miskin? Murid yang keluarga tak mampu hantar anak-anak pergi tuisyen? Terus ketinggalan.
“Maka akan hilanglah motivasi mereka untuk terus belajar sebab banyak yang mereka tak faham. Inilah situasi sistem pendidikan negara kita sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette
















