TEHRAN – Iran masih menggunakan senjata generasi lama dalam serangan ke atas Israel dan memebri amaran kepada rejim Zionis bahawa fasa penggunaan senjata yang lebih canggih akan dilakukan.
Seorang pegawai kanan Iran, Mohsen Razaee berkata, kejutan besar akan didedahkan dan apa yang menanti Israel ialah ‘lebih hebat dan teruk’.
“Peperangan akan berterusan sehingga entiti penceroboh kalah sepenuhnya,” katanya.
Menurut Razaee, negaranya kini hanya menggunakan peluru berpandu dengan kepala peledak 1.5 tan dan menahan diri daripada menggunakan peralatan yang lebih berkuasa.
“Ini adalah penentuan perang dan Iran akan menentukan kesimpulannya,” katanya yang memberi amaran penggunaan senjata baharu dalam kancah peperangan tidak lama lagi,” ujarnya.
Razaee menjangka peperangan boleh berlanjutan beberapa minggu lagi dan apa yang dikerah setakat ini hanya permulaan kepada tindak balas Iran.
Sementara itu, Razaee menuduh Donald Trump memberi kebenaran kepada Israel melancarkan serangan awal dan mendakwa Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyangka Iran berada di ambang kejatuhan dan rejim Zionis boleh mengalahkannya dengan mudah.
Beliau memberitahu, matlamat sebenar di belakang serangan Israel itu bukan kerana program nuklear Iran tetapi juga kerana kemampuan peluru berpandu dan kedaulatan negara itu.
Razaee berkata, walaupun Israel memulakan peperangan namun pada akhirnya Iran yang akan menentukan bagaimana peperangan itu berakhir.
“Jika AS dan Eropah tidak menghentikan sokongan mereka secara langsung kepada Israel, peperangan akan merebak dan kami terpaksa memasuki fasa seterusnya.
“Kami mempinyai taktik yang masih belum digunakan,” ujarnya.
Beliau berkata, Israel merancang untuk memasuki gelombang kedua pembunuhan yang mana tentera Iran berjaya mematahkannya. – Malaysiagazette
















