KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan diarahkan segera berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meneliti kelompongan perundangan sedia ada dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tuntas berhubung proses pelupusan kenderaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kenderaan terbiar tidak boleh dibiarkan terus mencacatkan wajah bandar raya.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan pemilik yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela supaya hadir ke mana-mana pusat rawatan automotif berlesen.
“Proses ini mudah dan pemilik akan menerima bayaran tunai berdasarkan keadaan kenderaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Zaliha berkata, beliau melawat syarikat Car Medic Sdn. Bhd., iaitu sebuah pusat rawatan automotif berlesen yang menjalankan pelupusan kenderaan yang telah dilucut hak.
Menurutnya, lawatan itu penting untuk melihat sendiri proses pelupusan yang lebih pantas, teratur dan lestari.
Di Kuala Lumpur sahaja, ujar beliau, aduan awam berkaitan kenderaan terbiar mencecah lebih 2,500 kes setiap tahun yang disifatkan bukan angka kecil dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.
“Namun kita berdepan beberapa kekangan perundangan, antaranya kenderaan terbiar di premis swasta yang tidak boleh ditunda ke depot PBT (pihak berkuasa tempatan) serta kenderaan yang sudah lama berada di depot tetapi masih belum dapat dilupuskan kerana halangan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
















