KUANTAN – Seorang pekerja ladang maut manakala tunangnya cedera parah selepas terbabit dalam nahas dua kenderaan di kilometer 147 Jalan Kuantan-Seremban di Simpang Empat Melati, Rompin pukul 12.25 tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki kedua2 mangsa dengan sebuah lori treler.
“Siasatan awal dapati, lori treler yang tidak bermuatan itu dari arah Bahau menghala ke arah Muadzam Shah.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa didapati keluar dari persimpangan empat Melati dengan tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan.
Sharif berkata, akibat jarak yang dekat, lori berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut.
Berikutan kemalangan itu, mangsa, Muhamad Nasri Sulaiman, 32 disahkan maut di tempat kejadian, manakala tunangnya Norafikaharanap Syafaruddin, 33 dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Muadzam Shah.
“Hasil siasatan pihak polis di lokasi kejadian juga mendapati, kemalangan dipercayai berpunca akibat pemandu kereta yang memandu secara melulu keluar simpang sehingga menyebabkan kemalangan maut berlaku,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette
















