KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aliran keluar bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan jumlah aliran keluar sebanyak RM444.4 juta, lebih tinggi berbanding RM387.4 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali hari Rabu, dengan aliran keluar antara RM34.6 juta hingga RM211.6 juta.
Aliran keluar terbesar dicatatkan pada hari Jumaat, diikuti oleh Khamis dengan RM127.4 juta.
Hari Rabu mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM10.1 juta.
Firma penyelidikan ini berkata, tiga sektor yang mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi ialah produk & perkhidmatan industri (RM19.4 juta), pengangkutan (RM17.3 juta) dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs) (RM8.2 juta).
Manakala tiga sektor dengan aliran keluar bersih asing tertinggi pula ialah perkhidmatan kewangan (RM305.2 juta), penjagaan kesihatan (-RM51.7 juta) dan hartanah (RM36.8 juta).
Pelabur institusi tempatan meneruskan aktiviti pembelian, menjadikan aliran masuk bersih selama empat minggu berturut-turut sebanyak RM620.6 juta.
Sementara itu, pelabr runcit juga melanjutkan aliran keluar bersih mereka kepada dua minggu, mencatatkan -RM176.2 juta, kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi berbanding RM57.3 juta pada minggu sebelumnya.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh pada minggu lalu, kecuali bagi pelabur asing.
Pelabr institusi dan runcit tempatan mencatat peningkatan masing-masing sebanyak +12.6% dan +14.6%, manakala pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 8.4%. – MalaysiaGazette















