Suasana kawasan kediaman individu bergelar Tan Sri yang disiasat berhubung penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Bandar Tasik Selatan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Proses rakaman keterangan individu bergelar ‘Tan Sri’ berkaitan siasatan skandal penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang akan disambung pada Khamis ini jam 9 pagi.

Perkembangan terkini itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau memaklumkan proses tersebut akan dibuat di kediaman inidividu itu di Bandar Tasik Selatan di sini.

Pada 12 Jun lalu, Azam dilaporkan berkata proses rakaman keterangan pemegang konsesi lebuh raya ditangguh sehingga minggu depan akibat masalah kesihatan.

Menurutnya, doktor yang merawat Tan Sri itu mengeluarkan laporan perubatan mengesahkan keadan beliau tidak mengizinkannya untuk meneruskan proses keterangan buat masa ini.

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, pihaknya hanya sempat merekodkan keterangan kira-kira dua hingga tiga jam sebelum dinasihatkan doktor mengenai keadaan suspek.

Pada 3 Jun lalu, SPRM menyenaraikan sitaan harta berjumlah kira-kira RM143 juta yang dirampas dalam siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.

Pasukan siasatan SPRM juga sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri terbabit di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast