BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan kemalangan menyayat hati membabitkan sebuah bas yang membawa seramai 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Tragedi tersebut telah meragut seramai 15 nyawa. Berdasarkan siasatan awal punca utama kematian ialah berkemungkinan kesan kenderaan merempuh penghadang besi dan seterusnya menembusi bahagian dalam bas di selekoh jalan raya.
Dan ini bukanlah satu senario yang baru, malah dalam beberapa kes lain sebelum ini juga, penghadang besi dilebuh raya menjadi punca utama kematian yang melibatkan kemalangan.
Ini disebabkan penghadang besi sedia ada gagal menyerap kesan rempuhan dan ditambah pula struktur besi yang tajam yang mungkin menambah kecederaan kepada mangsa.
Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan jalan raya negara, teknologi penghadang keselamatan di jalan raya yang berasaskan bahan komposit dilihat sebagai alternatif masa depan yang bukan sahaja lebih cekap malah berpotensi menyelamatkan nyawa.
Bahan komposit merupakan gabungan dua atau lebih bahan berbeza bagi menghasilkan sifat mekanikal yang lebih baik berbanding bahan asal.
Gabungan gentian kaca, gentian karbon atau bahan semula jadi dengan resin mampu menghasilkan struktur yang kuat, ringan dan tahan kakisan.
Teknologi ini telah lama digunakan dalam industri aeroangkasa, marin, perubatan dan automotif kerana kelebihan utamanya dalam menyerap tenaga hentakan.
Di Malaysia, kebanyakan penghadang keselamatan di lebuhraya diperbuat daripada besi atau konkrit.
Walaupun mampu bertahan dalam pelbagai keadaan cuaca, ia mempunyai beberapa kelemahan ketara antaranya mudah berkarat dan memerlukan penyelenggaraan berkala, berat serta menyukarkan kerja pemasangan dan pemindahan, tidak menyerap impak hentakan dengan berkesan dan akan menyebabkan kenderaan terpelanting semula ke jalan raya.
Selain itu, kos penyelenggaraan jangka panjang adalah sangat tinggi.
Negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, China dan Amerika Syarikat kini aktif menggantikan penghadang besi dengan penghadang komposit khususnya di laluan berisiko tinggi.
Ia memberi kelebihan antaranya ringan serta memudahkan kerja pemasangan tanpa jentera berat. tahan kakisan dan cuaca ekstrem, mengurangkan kos penyelenggaraan, berupaya menyerap tenaga impak dengan lebih baik sekali gus mengurangkan kecederaan dan kematian.
Ia juga boleh diperbuat daripada bahan kitar semula atau bio-komposit, menjadikannya pilihan mesra alam.
Teknologi Sistem Penghadang Komposit Berputar terdiri daripada bingkai yang direka dan dihasilkan secara khusus, dilengkapi dengan tong yang diperbuat daripada bahan komposit yang berputar dan mampu berfungsi sebagai penyerap hentakan, beserta dengan skru, bolt dan sokongan yang direka khusus untuk memastikan kestabilan dan keberkesanan teknologi tersebut.
Bingkai tersebut membentuk satu struktur yang menjadi tempat pemasangan tong-tong komposit secara berputar.
Teknologi Sistem Penghadang Komposit Berputar ini mempunyai daya tahan yang sangat tinggi dan tidak mudah mengalami kerosakan atau keruntuhan apabila menerima hentakan dari luar.
Ini adalah kerana struktur berputar dan teknologi penyerap hentakan yang digunakan memberikan keupayaan penyerapan hentakan yang jauh lebih baik berbanding penghadang keselamatan konvensional yang biasanya bersifat statik.
Apabila kenderaan melanggar penghadang ini, tong-tong komposit berputar tersebut bergerak secara serentak dengan kenderaan, membantu mengalihkan tenaga hentakan dan mengarahkan kenderaan untuk bergerak mengikuti selekoh jalan mengikut lengkungan yang telah ditetapkan sekaligus mengurangkan risiko kemalangan serius.
Teknologi penghadang ini juga direka dengan kemudahan penyelenggaraan iaitu tong-tong komposit yang rosak akibat hentakan boleh dikeluarkan dan diganti dengan mudah tanpa perlu menukar keseluruhan struktur penghadang.
Ini menjimatkan kos penyelenggaraan dan memastikan teknologi sentiasa dalam keadaan optimum untuk memberikan perlindungan maksimum.
Di Universiti Malaysia Perlis serta beberapa universiti awam di Malaysia, kajian awal berkaitan aplikasi bahan komposit dari pelbagai sumber giat dijalankan untuk pelbagai kegunaan, dan salah satunya ialah penghadang jalan.
Teknologi Sistem Penghadang Komposit Berputar bukan sahaja menunjukkan prestasi mekanikal yang baik dalam ujian hentakan, malah kos pemasangan dan penyelenggaraan jangka panjang juga lebih rendah berbanding penghadang besi.
Di Malaysia, pemasangan Teknologi Penghadang Komposit Berputar telah menunjukkan keberkesanan yang ketara. Pada 14 Disember 2016, Malaysia telah memasang Sistem Penghadang Komposit Berputar di Jalan Lapangan Terbang Subang yang menghubungkan ke Lebuhraya Persekutuan.
Menurut laporan Gerard Lye dari akhbar The Star (2017), Kementerian Kerja Raya menyatakan bahawa pemasangan Sistem Penghadang Komposit Berputar di beberapa lebuh raya terpilih di Malaysia telah membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sehingga 94%.
Lanjutan itu langkah seterusnya yang boleh diambil ialah memperbanyakkan projek perintis di beberapa laluan lebuhraya utama atau kawasan berisiko tinggi kemalangan.
Pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) boleh bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan university awam untuk menguji keberkesanan penghadang komposit dalam situasi sebenar.
Sudah tiba masanya Malaysia memanfaatkan kelebihan teknologi bahan komposit iaitu Teknologi Sistem Penghadang Komposit Berputar secara meluas dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
Walaupun pelaburan awal mungkin lebih tinggi, manfaat jangka panjang dari aspek keselamatan nyawa, kos penyelenggaraan serta kelestarian alam sekitar menjadikan penghadang komposit satu pilihan yang wajar dipertimbangkan.
Teknologi bukan hanya untuk kemudahan tetapi juga untuk menyelamatkan nyawa.

Dr. Mohd Ridzuan Mohd Jamir
Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal
Universiti Malaysia Perlis
















