Kesemua kru Myanmar itu ditahan di Pulau Kendi, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Lima kru warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang bersama vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C yang dikendalikan mereka di kedudukan 21 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, penahanan dibuat hasil rondaan rutin penguatkuasaan sebelum pasukan peronda mengesan dan memeriksa vesel yang sedang bergerak di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan lima kru warga Myanmar berumur antara 25 hingga 45 tahun dan dua daripada mereka gagal mengemukakan permit kerja sah.

“Mereka disyaki melanggar Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia, serta melanggar Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, hasil tangkapan sebanyak 30 kilogram ikan baja turut dirampas dan kesemua kru bersama vesel dibawa ke Jeti Maritim Batu Maung untuk siasatan lanjut.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang laut negara, khususnya berkaitan pencerobohan dan pengambilan kru asing tanpa kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast