WASHINGTON – Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) mengutuk serangan udara Israel pada Isnin yang menyasarkan stesen televisyen milik kerajaan Iran semasa ia sedang bersiaran secara langsung.
“CPJ sangat terkejut dengan pengeboman Israel terhadap saluran televisyen negara Iran ketika wartawan sedang bersiaran secara langsung,” kata Pengarah Serantau CPJ bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Sara Qudah.
Menurutnya, pembunuhan tanpa hukuman oleh Israel terhadap sekurang-kurangnya 185 wartawan di Gaza telah mendorong mereka untuk menyasarkan media di kawasan lain pula.
“Pertumpahan darah ini mesti dihentikan sekarang,” tegas Qudah.
Serangan itu mengenai bangunan penyiar rasmi IRIB, menyebabkan siaran terhenti seketika.
Namun, penyiaran disambung semula selepas gangguan ringkas itu melalui studio lain, menurut laporan media Iran.
Beberapa media turut menyiarkan rakaman video keadaan selepas serangan tersebut.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, stesen radio dan televisyen Iran “akan lenyap tidak lama lagi”.
Ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara dan dron ke atas beberapa lokasi di Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mencetuskan serangan balas dari Tehran. – Agensi
















