Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2025 di Ideas Hotel Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Golongan agamawan diberi amaran supaya tidak menjadikan ketokohan mereka untuk bersekongkol dengan penipuan agen-agen syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk menunaikan haji.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mokhtar Na’im Mokhtar menasihatkan agar golongan agamawan membantu kerajaan membentuk rakyat bertanggungjawab mematuhi peraturan dan undang-undang melalui Tabung Haji (TH).

“Kita rasa sedih juga kadang-kadang ada syarikat yang menggunakan individu-individu agamawan yang tertentu untuk menarik dan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk pergi haji menggunakan agen-agen tersebut.

“Jadi, saya beri amaran sekali lagi dan saya nasihatkan kepada golongan agamawan ini untuk memastikan masyarakat Islam ini kita bentuk menjadi masyarakat, yang mematuhi undang-undang dan peraturan.

“Kita jangan gunakan agama sebagai asas untuk kita menipu,” katanya kepada pemberita selapas Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 di sini hari ini.

Semalam Mohd Na’im dipetik berkata, seramai 47 jemaah haji Malaysia menjadi mangsa penipuan pakej haji yang mungkin berpunca daripada kemasukan secara haram ke Jeddah dengan menggunakan visa pelancong.

Katanya, disebabkan itu adalah sukar untuk kerajaan mengesan kesalahan tersebut jika jemaah berkenaan masuk ke Jeddah melalui negara lain.

Tambahnya, kerajaan sudah melakukan pelbagai cara untuk membendung kes penipuan ini termasuk mengeluarkan tidak kurang daripada 10 kenyataan media setiap kali tiba musim haji untuk mengingatkan jemaah supaya berhati-hati dengan penipuan haji. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast