GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan terhadap situasi hartanah tidak terjual yang semakin meruncing di negara ini meskipun aktiviti pembinaan kediaman dan bangunan komersial terus giat dijalankan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sehingga tahun 2024, pasaran hartanah kediaman di Malaysia kekal dalam tekanan apabila sebanyak 22,642 unit kediaman yang telah siap masih belum terjual, dengan nilai keseluruhan mencecah RM14.24 bilion.
Menurut beliau, sebahagian besar hartanah tidak terjual itu terdiri daripada unit kondominium dan pangsapuri, yang menyumbang hampir 60 peratus, manakala rumah teres pula merangkumi kira-kira 24.4 peratus.
“Di Pulau Pinang sahaja, jumlah hartanah tidak terjual menjelang suku ketiga 2024 mencecah 13,474 unit, dan hampir 70 peratus daripada unit tersebut ditawarkan pada harga antara RM300,000 hingga RM500,000.
“Situasi ini menggambarkan lebihan bekalan dalam segmen rumah kos sederhana, sekali gus menandakan keperluan untuk menghentikan projek tebus guna tanah bagi pembangunan hartanah baharu di negeri itu.
“Rumah teres kekal menjadi pilihan utama pembeli dengan 43.1 peratus urus niaga, manakala unit kediaman bertingkat tinggi termasuk rumah pangsa kos rendah hanya menyumbang 13.9 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, perangkaan ini jelas menunjukkan ketidakpadanan antara penawaran hartanah dengan kemampuan sebenar pengguna, khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah.
Mohideen turut menekankan bahawa walaupun rumah mampu milik ditawarkan pada harga antara RM300,000 hingga RM500,000, ia tetap di luar jangkauan majoriti rakyat akibat kos sara hidup yang tinggi, pendapatan tidak stabil serta syarat pinjaman perumahan yang ketat.
“Ramai pembeli dari kalangan B40 termasuk pekerja gig, ibu tunggal dan graduan muda menghadapi kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman kerana pendapatan yang tidak tetap atau rekod kredit yang lemah.
“Institusi kewangan pula lebih berhati-hati untuk meluluskan permohonan daripada golongan ini kerana bimbang terhadap peningkatan kadar pinjaman tidak berbayar.
“Sehubungan itu, CAP menggesa agar pendekatan menyeluruh diperkenalkan bagi menangani isu ini termasuk pihak berkuasa negeri memperkukuh dasar perancangan pembangunan bagi memastikan perumahan yang dibina benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette















