GEORGE TOWN – Seorang pesara juruteknik kilang kerugian RM321,250 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian menggunakan nama syarikat, Demax Global.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 56 tahun itu pada mulanya tertarik dengan satu iklan pelaburan di aplikasi Instagram pada Disember tahun lalu yang menjanjikan pulangan 30 peratus dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita yang memperkenalkan aplikasi Demax Global serta membimbingnya untuk membuat pelaburan.
“Susulan itu, mangsa membuat transaksi pertama pada 21 Mac lalu berjumlah RM20,000 dan menerima pulangan sebanyak RM14,150 tidak lama selepas itu.
“Tertarik dengan hasil awal tersebut, mangsa membuat 11 lagi transaksi ke empat akaun bank berbeza milik syarikat berkenaan antara 27 Mac hingga 3 Jun lalu.
“Mangsa mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang tertera dalam aplikasi berjumlah RM280,000 selain suspek meminta bayaran tambahan sebanyak RM120,000 kononnya sebagai caj pengeluaran,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Hamzah, susulan itu, mangsa tampil membuat laporan berhubung kejadian pada 12 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















