KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Iran susulan konflik negara itu dengan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, ketika ini rakyat negara ini masih menetap di sana di sebalik serangan Israel ke atas Iran.
“Belum lagi,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai status rakyat Malaysia di negara itu.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Sasana Simposium 2025 dan melancarkan Hab Inovasi Aset Digital di Bank Negara Malaysia, di sini, hari ini.
Pada 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan yang menyasarkan infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran, sekali gus menyebabkan harga minyak global melonjak.
Namun Anwar menegaskan, Malaysia mempertahankan hak Iran untuk mempertahankan kedaulatan negara mereka selepas diserang rejim Zionis sejak Jumaat lalu.
Menurut beliau, Iran berhak melakukan serangan balas demi mempertahankan maruah negaranya. – MalaysiaGazette
















