Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar hadir ke Majlis Sasana Simposium 2025 dan Pelancaran Digital Asset Handbox di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh lagi menangguh reformasi struktur termasuk subsidi bahan api bersasar, penambahbaikan cukai, fiskal dan sistem penjagaan kesihatan di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, pemberian subsidi bahan api khususnya untuk RON95 selama ini telah memberi manfaat kepada golongan kaya dan juga warga asing.

Jelas beliau, pendekatan lama itu sepatutnya disalurkan kepada golongan yang memerlukan yang berasaskan keadilan ekonomi agar golongan rentan tidak terus terbeban.

“Subsidi tidak salah jika disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Tetapi subsidi untuk orang kaya dan warga asing yang tidak membayar cukai? Itu tidak adil dan membebankan fiskal negara.

“Reformasi bukan satu kemewahan tetapi adalah satu keperluan nasional. Kita tiada pilihan selain melaksanakannya untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengakui cabaran kesihatan awam yang semakin mendesak terutama dari segi kos penjagaan kesihatan swasta yang melonjak dan akses yang semakin terbatas bagi rakyat biasa.

Beliau menyifatkan masalah itu sebagai isu nasional yang memerlukan tindakan segera kerana melibatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, sebagai langkah awal, kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk mencari penyelesaian tuntas bagi menjadikan rawatan kesihatan lebih mampu milik.

“Kita tidak bercakap tentang perubahan kecil tetapi perubahan asas. Kita perlu beralih kepada sistem penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai yang mengutamakan keputusan klinikal, ketelusan dan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast