PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Malaysia terus diberikan perlindungan daripada malapetaka besar ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim.
Beliau pada masa sama menyeru rakyat supaya mempunyai rasa kemanusiaan dan prihatin terhadap mangsa bencana tanpa mengira kaum atau agama.
“Malapetaka berlaku di Nepal. Kaumnya lain, agamanya lain tapi kalau tak sentuh perasaan tengok rumah-rumah itu hancur, tengok tak ada apa-apa. Itu kamu ada penyakit buta hati.
“Kita kena tersentuh kerana nilai agama, nilai kemanusiaan ini perlu ada.
“Kita doakan agar Allah SWT terus memberi perlindungan dari malapetaka besar dan beri ruang untuk kita pacu pertumbuhan ekonomi dengan segala yang baik,” katanya ketika berucap pada program Sahabat Madani 2026 sempena ambang Merdeka di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh di sini hari ini.
Anwar berkata, rakyat Malaysia perlu memupuk nilai kasih sayang dan kemanusiaan kerana setiap anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka yang berdepan kesusahan.
“Begitu juga yang berlaku kepada orang-orang Melayu. Majoriti ada Melayu miskin. Itu harus menjadi tanggungjawab kita.
“Ada anak India di estet, meraung kelaparan. Itu harus kita rasakan. Ada anak Cina, ada anak Iban, kita rasakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















