Peguam, Sivahnanthan Ragava.

KUALA LUMPUR – Majistret Ainur Syuhada Jefri hari ini menolak permohonan reman tujuh hari oleh polis terhadap lima individu yang sebelum ini ditahan berhubung kes tembakan di Brickfields pada malam Jumaat lalu.

Menurut peguam mewakili lima suspek itu, Sivahnanthan Ragava, kelima-lima lelaki berkenaan bukan individu yang melepaskan tembakan, sebaliknya mereka merupakan mangsa yang berada di lokasi kejadian dan duduk semeja dengan mangsa yang maut.

“Saya hadir ke prosiding permohonan reman hari ini yang dikemukakan pihak polis terhadap lima individu yang berada di tempat kejadian.

“Namun, mereka bukan penembak. Mereka adalah rakan mangsa dan turut menjadi sasaran serangan,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Peguam, Sivahnanthan Ragava bercakap pada media berkenaan Reman lima suspek dalam kes tembak di Brickfields di Balai Polis Daerah Brickfields. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JUN 2025.

Menurut beliau, pihak polis mengemukakan permohonan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh namun ia dibantah atas alasan tiada kaitan langsung antara mereka dengan kesalahan menembak.

Bagaimanapun kata beliau, majistret bersetuju dengan hujahan beliau selepas permohonan hari ini.

“Salah seorang daripada mereka turut mengalami kecederaan tembakan di bahagian tepi dada dan masih dalam tahanan. Bagaimana seseorang yang ditembak boleh dianggap sebagai suspek pembunuhan?

“Seksyen 302 sepatutnya hanya digunakan terhadap pelaku jenayah. Jika mereka hanya saksi, prosedur undang-undang yang betul ialah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah.

“Jika tidak hadir, barulah waran boleh dikeluarkan. Bukannya terus direman seperti pesalah,” katanya.

Sivahnanthan memaklumkan beliau telah menunjukkan beberapa rakaman video yang tular di laman sosial media kepada majistret sebagai bukti bahawa anak guamnya hanya cuba menyelamatkan diri dalam kekecohan tersebut, dan ia bukan satu kesalahan di sisi undang undang.

“Saya persoalkan apa rasional mereka ditahan? Sedangkan seorang rakan mereka telah meninggal dunia dan seorang lagi dalam keadaan kritikal di hospital.

“Mereka telah pun memberi kerjasama kepada polis selama empat hari. Jadi, apa asas reman ini?

“Syukurlah pihak mahkamah bersetuju dengan hujahan saya bahawa tiada ‘nexus’ atau kaitan langsung yang membolehkan mereka dikategorikan sebagai orang kena tuduh (OKT),” ujarnya.

Katanya, keputusan mahkamah untuk membatalkan reman tersebut membuktikan pentingnya meneliti fakta kes secara objektif sebelum menahan individu yang tidak bersalah.

“Kita tak mahu mangsa pula yang jadi pesalah,” ujar beliau.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, tiga lelaki ditembak ketika makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini menyebabkan seorang maut, manakala dua lagi cedera.

Dalam kejadian jam 10.50 malam Jumaat lepas, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal. -MalaysiaGazette

Lelaki mati ditembak di Brickfields, dua lagi cedera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast