Konsert Cinta Nostalgia bersama Krisdayanti ditukar lokasi ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

KUALA LUMPUR – Konsert Cinta Nostalgia bersama Krisdayanti yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Ahad ini ditukar lokasi ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Penganjur konsert Jaguh Baru menerusi Ketua Pegawai Kewangannya Isaruddin Abdul Rani berkata, perubahan lokasi itu bagi menjamin keselesaan dan memberikan kemudahan terbaik kepada penonton yang menantikan kemunculan primadona Indonesia berkenaan selepas lapan tahun tidak beraksi di Malaysia.

“Pertukaran lokasi dilakukan demi menjamin keselesaan maksimum, kemudahan terbaik dan menyediakan suasana konsert lebih eksklusif dan imersif buat penonton yang dihargai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Konsert penyanyi yang namanya mula meledak menerusi lagu Menghitung Hari itu ke Malaysia cukup dinantikan selepas kali terakhir menggegarkan hati peminat melalui Konsert Romansa Krisdayanti pada 2017.

Penyanyi jelita itu bakal menghangatkan pentas dengan lontaran vokal lantangnya yang memukau diiringi susunan muzik orkestra megah dan eksklusif di bawah pimpinan Pengarah Muzik tersohor, Erwin Gutawa bersama penampilan istimewa Mimi Fly dan Khai Bahar.

Bersesuaian nama konsert, persembahan juga bakal menyaksikan ibu kepada empat cahaya mata itu mendendangkan himpunan lagu cinta popular dan mampu mengimbau nostalgia.

Tiket konsert boleh didapati antara RM154 hingga RM448 menerusi pautan rasmi yang disediakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast