KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan lonjakan 11 kedudukan dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lepas.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kedudukan tahun ini merupakan pencapaian terbaik negara sejak tahun 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan, serta mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033, seperti yang disasarkan oleh Kerangka Ekonomi Madani.
Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan dalam tiga faktor iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan. Faktor Prestasi Ekonomi meningkat empat anak tangga ke kedudukan ke-4 terbaik berbanding tempat ke-8 tahun lepas.
Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan kedua-duanya meningkat lapan anak tangga.
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.
Ia merupakan laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan mereka untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
Sub-faktor Perdagangan Antarabangsa melonjak 11 anak tangga ke tempat keenam berbanding kedudukan ke-17 tahun lepas, berikutan pertumbuhan rancak eksport barang dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran, dan peningkatan terimaan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan negara.
MITI, melalui Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) – yang dipengerusikan Bersama dengan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan – menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian sekali gus memperkukuh ekosistem agenda daya saing negara.
Di peringkat operasi, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memastikan pelaksanaan berkesan dalam peningkatan daya saing, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, peningkatan daya saing negara ini mencerminkan faktor-faktor birokrasi saling berkait dengan, antara lainnya, pelaburan dan pembangunan industri – kedua-duanya penting bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih.
Pendekatan Kerajaan Madani untuk meningkatkan daya saing berdasarkan prinsip whole-of-government juga membuktikan kesungguhan Kerajaan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur di Malaysia secara menyeluruh.
MITI yakin dengan tadbir urus kukuh, komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta kerjasama erat dengan industri, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk menempatkan diri dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033. – MalaysiaGazette















