KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemui meninggal dunia dalam kenderaan miliknya di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Puchong, Selangor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada seorang wanita merupakan isterinya pada pukul 8.06 pagi.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan duduk dan lengkap berpakaian di bahagian tempat duduk pemandu kereta yang di kawasan parkir kondominium itu.
“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi proses bedah siasat.
Berikutan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette
















