Mendiang dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 8 pagi hari ini.

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merakamkan rasa dukacita atas pemergian bekas Presiden MIC, Dato’ Seri G. Palanivel Govindasamy yang telah meninggal dunia pagi tadi.

Beliau menyifatkan mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu merupakan seorang tokoh disegani yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi terhadap pembangunan masyarakat India di Malaysia.

Selain itu katanya bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu turut memainkan peranan penting dalam mewarnai landskap politik tanah air menerusi kepimpinan beliau dalam MIC.

”Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang serta warga MIC.

”Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan yang tersayang ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mendiang dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 8 pagi hari ini.

Sebelum ini beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Kemudian beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu pada tahun 1984.

Mendiang juga pernah dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990 dan melibatkan diri secara aktif dalam politik menerusi MIC bermula awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1990.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.

Bagaimanapun G. Palanivel kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi kawasan Cameron Highlands. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast