KUALA LUMPUR – Gara-gara ingin kejar lampu isyarat, seorang penghantar makanan cedera selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan Jalan Awan Besar menghala Taman Yarl di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengesan video tular memaparkan kejadian itu sekitar jam 3.17 petang tadi.

“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku pada 15 Jun lalu sekitar jam 4.55 petang melibatkan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 19 tahun dan sebuah kereta dipandu wanita berumur 80 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mercedes Benz dari arah Jalan Awan Besar sedang membelok ke kanan menuju menuju ke arah Taman Yarl selepas lampu isyarat bertukar ke hijau.

“Secara tiba-tiba, motosikal dari arah bertentangan meluru laju dan melanggar sebelah kiri kereta terbabit hingga menyebabkan penunggang tersebut cedera di jari kiri dan bibir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan pesakit luar.

Tambah beliau, semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati motosikal itu sedang mengejar lampu isyarat yang hendak bertukar warna merah.

“Sementara itu, laluan kereta ketika kejadian telah bertukar hijau dan pemandu terbabit membelok secara sah mengikut lampu isyarat,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana gagal mematuhi isyarat lampu.

“Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi lampu isyarat dan tidak tergesa-gesa melintasi simpang bagi mengelakkan risiko kemalangan.

“Tindakan terburu-buru bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” jelasnya.

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya boleh disalurkan terus kepada pihak polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast