KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel merupakan negarawan yang banyak berjasa kepada negara dan masyarakat India.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, Palanivel merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang telah mendedikasikan puluhan tahun hidupnya untuk memperjuangkan nasib komuniti India dan pembangunan negara.
“Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, saya menerima berita pemergian Datuk Seri G Palanivel, bekas Presiden MIC, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen yang telah berkhidmat sekian lama,” kata Vigneswaran dalam laman sosial beliau.

Menurut Vigneswaran, Palanivel merupakan seorang negarawan sejati yang mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk memperjuangkan nasib masyarakat India dan membawa suara komuniti itu ke peringkat tertinggi negara.
Katanya, kepimpinan Palanivel dalam Kabinet dan parti MIC sentiasa dicirikan oleh sifat tenang, berhemah serta penuh rasa tanggungjawab.
“Antara sumbangan terbesar beliau ialah menjadi perintis kepada pelan tindakan atau blueprint masyarakat India.
Beliau yang memulakan inisiatif ini dan bertungkus-lumus memastikan dasar itu menjadi kenyataan, sekaligus membuka jalan kepada pelbagai bentuk pembangunan dan perhatian terhadap komuniti India,” ujar beliau kepada MalaysiaGazette.
Vigneswaran turut mengimbas kenangan peribadi bersama mendiang apabila beliau tewas dalam pemilihan parti pada tahun 2013, namun Palanivel tetap menunjukkan jiwa besar sebagai seorang pemimpin.
“Walaupun saya kalah dalam pemilihan parti, Palanivel tetap mencadangkan nama saya untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Hasil kepercayaan beliau itu, saya kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Ini satu penghormatan besar yang saya tidak akan lupakan dan saya amat menghargainya,” kata Vigneswaran.
Beliau juga menyatakan bahawa tahap kesihatan Palanivel sejak kebelakangan ini tidak begitu memuaskan, dan pemergiannya hari ini merupakan kehilangan besar kepada parti dan masyarakat India seluruhnya.
“Walau apa pun perbezaan atau cabaran yang pernah dihadapi, jasa dan pengorbanan beliau terhadap parti MIC dan masyarakat India tidak boleh disangkal sama sekali. Legasi beliau akan terus hidup dalam sejarah perjuangan komuniti ini.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga dan insan tersayang beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diberi kedamaian abadi,” ujarnya. -MalaysiaGazette















