Mohd Uzir pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pulau Pinang di Kepala Batas hari ini.

KEPALA BATAS – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merancang untuk membangunkan Indeks Pengeluaran Sektor Pertanian Negara sebagai satu penunjuk baharu dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara secara lebih terancang dan efisien.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi membolehkan data berkaitan pengeluaran pertanian dikumpul secara lebih terperinci dan berstruktur.

Jelas beliau, statistik menerusi indeks pengeluaran itu dijangka diterbitkan sekurang-kurangnya setiap suku tahun, selari dengan sektor lain seperti perkhidmatan dan perkilangan.

“Indeks itu akan membolehkan kerajaan dan agensi berkaitan mengenal pasti kawasan yang menunjukkan prestasi pengeluaran terbaik, sekali gus membantu memperkukuh daya saing sektor tersebut di peringkat negeri dan nasional.

“Ketika ini, kita hanya mempunyai statistik asas seperti jumlah pengeluaran padi dan kelapa sawit. Statistik itu tidak mencerminkan keseluruhan gambaran sektor pertanian negara.

“Sektor pertanian juga wajar dipantau secara berkala kerana ia berkait rapat dengan keperluan asas rakyat. Dengan data yang konsisten dan terkini, perancangan serta penggubalan dasar dapat dibuat dengan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pulau Pinang di Institut Pertanian Bumbong Lima, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol.

Mengulas lanjut beliau berkata, dapatan Banci Pertanian 2023, sektor pertanian negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM161 bilion sekali gus menunjukkan potensi besar yang mampu dipacu dengan sokongan dasar dan pembangunan teknologi.

“Bagaimanapun, bancian juga menunjukkan lebih 50 peratus petani aktif merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas  satu realiti yang memerlukan perhatian dari segi penggantian tenaga kerja.

“Ramai warga emas di luar bandar masih bertani kerana tidak mempunyai pencen. Mereka akan terus berada di sawah atau ladang selagi sihat.

“Terdapat juga isyarat positif daripada golongan belia yang berminat menyertai sektor pertanian, khususnya mereka yang celik teknologi. Cuma masih ramai yang beranggapan pertanian ini memerlukan kerja fizikal yang berat dan kotor.

“Pemerkasaan statistik dan pembangunan data pertanian yang lebih menyeluruh juga akan membantu menarik minat lebih ramai belia serta pelabur untuk terlibat secara aktif dalam sektor berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast