SEBERANG PERAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM8.15 juta selepas menyerbu sebuah gudang di kawasan perindustrian di daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi yang dilaksanakan Cawangan Task Force Kompeni C, Batalion 1 PGA Bukit Kayu Hitam Kedah itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati gudang tersebut dijadikan sebagai tempat menyimpan mercun tanpa permit yang sah.
“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan 9,053 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM8,158,714.
“Hasil soal siasat awal mendapati kesemua bekalan mercun yang disimpan di gudang itu diambil dari Pelabuhan Klang, Selangor untuk dipasarkan ke bahagian utara Semenanjung.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kita akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dalam pelaksanaan undang-undang.
“Masyarakat turut diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette















