Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan serius terhadap gelombang persaraan sembilan orang hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara yang bakal berlaku dalam masa terdekat.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, perkembangan itu bukan sahaja luar biasa, malah merupakan ujian terbesar kepada komitmen negara terhadap prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.

Menurutnya, kenyataan tegas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini perlu diambil sebagai peringatan penting.

“Beliau mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 sebagai detik paling gelap dalam sejarah perlembagaan negara. Hanya tanggapan berlakunya campur tangan politik pun sudah cukup untuk menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, walaupun penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada 2009 dianggap sebagai satu bentuk reformasi, PN berpandangan bahawa persoalan mengenai ketelusan dan kebebasan pelantikan hakim masih wujud dan kini kembali dipersoalkan.

Justeru kata beliau, sempena pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu dan beberapa jawatan tertinggi badan kehakiman yang lain, PN menggesa agar proses ini benar-benar berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik atau campur tangan mana-mana pihak.

PN katanya, turut menyatakan beberapa pendirian penting berhubung ketelusan dalam pelantikan hakim di JAC perlu diberi ruang menjalankan tanggungjawab tanpa tekanan politik, khususnya daripada pihak eksekutif.

“Nama-nama calon yang dicadangkan harus berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti – bukan hubungan atau kecenderungan politik,” ujarnya.

Katanya, PN mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan bagi memantau proses pelantikan hakim yang langkah berkenaan akan menjamin akauntabiliti tanpa menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

PN juga kata beliau, mendesak Perdana Menteri menyatakan komitmen secara terbuka untuk bertindak berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan, serta menghormati doktrin pengasingan kuasa.

Dalam pada itu Takiyudin berkata, PN mencadangkan agar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 1988 dikaji semula bagi mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang pemerintahan yang setara.

“PN ingin menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman bukan satu pilihan, tetapi asas kepada sebuah demokrasi yang matang,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia berhak kepada sistem keadilan yang tegas, adil dan bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Keputusan yang diambil hari ini akan menentukan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman untuk puluhan tahun akan datang.

“PN akan terus menjadi entiti semak dan imbang yang bertanggungjawab, mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang bentuk pengaruh atau kembalinya era gelap pengkhianatan perlembagaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast