KUALA LUMPUR – Polis menyerbu sebuah pusat hiburan tanpa lesen yang menjadi tumpuan warga Myanmar dalam Op Noda di Sri Hartamas, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) bersama anggota dari Balai Polis Hartamas pada pukul 11.15 malam.
“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menjalankan serbuan dan tangkapan di sebuah premis pusat hiburan disyaki beroperasi tanpa lesen sah.
“Mereka juga tidak mempunyai lesen perniagaan arak, menggaji pekerja asing, langgar syarat permit dan gagal mengemukakan dokumen diri,” katanya dalam kenyataan.
Rusdi berkata, premis terbabit turut menyediakan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) iaitu lima wanita warga Myanmar sebagai penarik pelanggan.
Katanya, siasatan awal mendapati GRO terbabit mampu meraih pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 yang dibayar oleh seorang lelaki dikenali hanya dengan panggilan ‘Bos’.
Katanya, pusat hiburan terbabit dipercayai beroperasi setiap hari bermula pukul 7 malam hingga 7 pagi dan kebanyakan pengunjung adalah warga Myanmar.
“Keseluruhannya 10 individu ditahan kesemuanya warga Myanmar iaitu seorang lelaki dipercayai penjaga premis, empat pekerja lelaki dan lima wanita disyaki GRO.
“Kesemua tangkapan berusia antara 22 hingga 35 tahun dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi tindakan lanjut.
“Rampasan termasuk, buku catatan jualan, pembesar suara, mikrofon, amplifier, televisyen dan enam botol minuman keras,” ujarnya.
Tegas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55(B)(1) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/64, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, dan Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette
















