GEORGE TOWN – Seorang pesara syarikat swasta terpaksa berputih mata apabila wang miliknya berjumlah RM827,120 lesap diperdaya sindiket pelaburan dalam talian dikenali syarikat Freeman Ltd.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 55 tahun itu dikatakan mula terjerat selepas melihat satu iklan pelaburan di Facebook pada awal April lalu.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi seorang suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp dan ditawarkan dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus bagi setiap modal dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudian memuat turun aplikasi bernama Freeman Ltd untuk mendaftar sebagai ahli dan memulakan pelaburan selepas diberi penerangan oleh suspek.
“Dalam tempoh bermula 19 April hingga 26 Mei lalu, mangsa telah membuat 22 transaksi pindahan wang ke enam akaun bank berbeza milik syarikat berjumlah RM827,120.
“Dia mula menyedari ditipu apabila tidak dapat membuat pengeluaran keuntungan yang dipaparkan pada aplikasi itu sebanyak RM23,241,952,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Hamzah, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, dekat sini, pada Khamis lalu.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette















Suami saya juga kehilangan wang dalam pelaburan ini. Dia kehilangan banyak wang.