PUTRAJAYA – Pelakon dan penyanyi lelaki yang didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini akan dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Selebriti itu dijangka dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Terdahulu artis lelaki itu yang mengenakan kemeja berwarna putih serta lengkap bertali leher dan blazer tiba di pekarangan Istana Kehakiman, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon dan penyanyi terkenal ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Selebriti lelaki tempatan berkenaan disiasat susulan polis menerima laporan daripada ibu remaja itu pada 3 Jun lalu mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali suspek di sebuah kafe tempat gadis terbabit bekerja.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian didakwa berlaku di sebuah hotel di Petaling Jaya selepas suspek mengajak remaja itu berjumpa.
Susulan laporan itu, suspek ditahan sekitar jam 2.54 petang keesokannya bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – MalaysiaGazette















