KUALA LUMPUR – Pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak membebankan golongan B40 kerana skopnya hanya diperluaskan kepada barangan yang lebih mahal dan mewah.
Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penguatkuasaannya pada 1 Julai ini tidak memberi kesan kepada golongan tersebut kerana mereka tidak membeli barangan mewah contohnya buah-buahan dan makanan yang diimport.
Pensyarah kanan, Business School Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, buat masa ini beliau cenderung memilih SST dilaksanakan berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Dalam keadaan ekonomi semasa, skop SST yang lebih meluas terutama kepada barangan mewah adalah lebih sesuai dilaksanakan daripada GST.
“GST meliputi skop hampir semua jenis barangan, mungkin boleh kembali ke tahun GST diperkenalkan iaitu sebelum 2018.
“Ketika itu GST berdasarkan cukai yang dibayar mengikut kemampuan perbelanjaan iaitu lebih tinggi pendapatan lebih banyak perbelanjaan dan mencakupi lebih banyak item berbanding SST.
“Peluasan SST kali ni hanya kepada barangan yang lebih mahal dan mewah dan tidak melibatkan golongan B40,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.
Aimi Zulhazmi diminta mengulas sama ada pelarasan SST memberi kesan besar kepada golongan B40 atau M40 kerana rata-rata berpendapat mereka akan `tersepit’ apabila ia dikuatkuasakan 1 Julai ini.
Pada 9 Jun lalu, portal ini melaporkan king crab, ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle dan strawberi import adalah makanan yang akan dinaikkan kadar cukai jualan sebanyak lima peratus ekoran pelaksanaan SST.
Selain itu, barangan yang dikenakan cukai kadar tersebut adalah essential oil atau minyak pati, sutera dan jentera industri.
Jumaat lalu, Pas dalam kenyataan berpendirian, semua lapisan masyarakat, terutama golongan B40 dan M40 didakwa bakal merasai kesan langsung susulan pengumuman kerajaan mengenai perluasan SST.
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Shahir Adnan berkata, kenyataan Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) bahawa hampir 97 peratus barangan kini dikenakan cukai memberikan makna hampir semua barang dicukai ketika ini tanpa mengira golongan berpendapatan rendah atau sederhana.
Menurut Shahir, antara barangan `mewah’ yang bakal dikenakan cukai adalah pisang, epal, nanas, mangga dan pelbagai lagi buah-buahan yang kebanyakan rakyat B40 dan M40 membelinya.
Aimi Zulhazmi bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan menjelaskan beberapa perbezaan di antara SST dan GST. – MalaysiaGazette

















Mcm mana lah manusia bodoh mcm ko ni blh jd pensyarah yer…buah apple pun barangan mewah kaaa???