Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menyaman seorang ahli politik berhubung kenyataan fitnah yang didakwa disiarkan defendan dalam laman sosial.

Mohd. Na’im menyaman Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin yang juga seorang pensyarah sebuah universiti awam melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co, pada 14 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Na’im berkata sejak penghujung 2024, defendan telah menunjukkan satu pola konsisten menerusi pelbagai kenyataan awam secara langsung atau tidak langsung menyentuh dan menyerang dirinya secara tidak adil dan keterlaluan.

Menurut plaintif, kenyataan itu dikeluarkan sama ada melalui posting di akaun X atau akaun Facebook miliknya atau kenyataan yang disiarkan portal berita.

Beliau berkata, pada 5 Februari dan 4 Mei lalu, Abu Hafiz telah membuat pernyataan fitnah yang telah diterbitkan semula oleh defendan melalui satu posting di akaun X beliau (defendan), yang berniat jahat dan tidak benar.

Katanya, ia membawa maksud antaranya beliau adalah seorang pemimpin yang angkuh, keras kepala dan sombong, yang menolak nasihat serta enggan menerima pandangan orang lain dalam membuat keputusan berkaitan agama.

Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau gagal menjalankan tugas dengan berkesan, walaupun dalam perkara mudah, sehingga menyebabkan dasar dan inisiatif kerajaan menjadi bahan ejekan dan sebahagiannya ditolak di Parlimen.

Mohd Na’im berkata, kenyataan itu turut bermaksud bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang angkuh, elitis dan tidak cakna dengan nilai kesederhanaan, seolah-olah menganggap dirinya lebih tinggi daripada pegawai lain, dan bertentangan dengan prinsip kepimpinan Islam.

Plaintif berkata, pada 6 Mei lalu, defendan atau wakilnya telah memuatnaik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu rakaman siniar (podcast) di platform Facebook di bawah akaun yang dikenali sebagai Iswardy Morni Utama.

“Ia adalah melampaui keraguan bahawa defendan mempunyai niat jahat terhadap saya. Ia adalah jelas juga bahawa defendan berniat untuk menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat dengan memfitnah saya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan dan memohon injunksi supaya memadamkan posting serta menghalang ia daripada disiarkan semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast