GEORGE TOWN – Seorang jurutera wanita di sebuah kilang di Bayan Lepas dekat sini, berputih mata apabila kesemua wang simpanannya berjumlah RM336,760 lesap akibat diperdaya scammer yang menyamar sebagai polis.

Mangsa berusia 35 tahun itu dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menggunakan satu nombor telefon bimbit semasa dia sedang bekerja pada 25 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek lelaki itu telah memperkenalkan diri sebagai wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memaklumkan nombor telefon wanita itu telah terlibat dalam 33 laporan polis berkaitan pelbagai aktiviti jenayah.

Katanya, panggilan tersebut kemudiannya dikatakan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sebelum mangsa bercakap dengan individu lain yang menyamar pagawai polis.

“Suspek yang menyamar polis itu mendakwa mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan diarahkan menyerahkan kesemua wang miliknya untuk tujuan siasatan.

“Suspek turut beri jaminan bahawa wang itu akan dipulangkan apabila siasatan selesai selain mangsa diugut akan diberikan waran tangkap jika gagal berbuat demikian.

“Mangsa yang ketakutan telah mula membuat transaksi pemindahan wang kepada 14 akaun bank berbeza pada 25 Mac sehingga 9 Jun lalu membabitkan wang berjumlah RM336,760,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, wanita hanya menyedari dia ditipu selepas supek berterusan meminta bayaran tambahan selain wang simpanannya telah habis.

“Mangsa telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada 14 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast