KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terlanggar pintu kereta yang berhenti di bahu jalan dekat persimpangan lampu isyarat Batu 5 Jalan Ipoh di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada 1.45 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira 12.20 tengah hari semasa penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 20 tahun bersama ibunya yang juga pembonceng dalam perjalanan dari arah Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong.

“Semasa tiba di lokasi, pemandu kereta Toyota Vios iaitu lelaki berusia 35 tahun yang parkir di kiri jalan secara tiba-tiba membuka pintu kereta menyebabkan penunggang tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian pintu kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang terjatuh ke atas jalan manakala pembonceng terjatuh ke bahagian bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke HKL namun, pembonceng disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala penunggang cedera ringan di kaki dan tangan.

Katanya, pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast