Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua pihak mengambil langkah segera menyelesaikan isu dadah dan penggunaan rokok elektronik (vape) dalam kalangan anak-anak muda.

Beliau menegaskan, perkara tersebut dilihat sudah membarah dan perlu penyelesaian segera agar tidak menjadi lebih serius.

“Tadi, mesyuarat Kabinet (bincang) dadah dan vape dalam kalangan anak-anak kita. Tolonglah bincang apakah perlu kaunseling, perlu dakwah.

“Berpuluh tahun kita fikir belum selesai. Betul ada anak Cina, India tetapi lebih parah anak Melayu. Membunuh jiwa mereka dari kecil. Kena lakukan sesuatu, kena bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurkan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani, di Dewan Auditorium Tun Azizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Perdana Menteri, penggunaan dadah dan vape dalam kalangan orang Melayu sudah menjadi sesuatu yang terlalu berat.

Beliau tidak menafikan bahawa ramai juga dalam kalangan anak-anak dari bangsa Cina dan India terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan vape, namun ia lebih parah lagi berlaku kepada anak orang Melayu.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil hari ini berkata, platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.

Tindakan sama juga akan diambil ke atas individu yang berbuat demikian.

Semalam, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M Murallitharan menggesa kerajaan bertindak tegas termasuk menggantung lesen, denda maksimum dan pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga vape yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast