Bank Islam

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam atau Bank) memaklumkan orang ramai dan para pelanggan supaya lebih berwaspada terhadap SMS, mesej WhatsApp dan hantaran social media palsu yang seolah-olah akaun Al-Awfar dan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile.

Pihaknya telah mengesan terdapat peningkatan dalam cubaan penipuan melalui SMS, aplikasi penghantaran mesej dan laman web tidak rasmi yang menyamar sebagai Bank Islam atau wakilnya.

“Mesej-mesej mengelirukan ini lazimnya menggesa penerima untuk mengklik pautan mencurigakan atau memuat turun aplikasi tidak sah seperti yang bukan daripada gedung aplikasi rasmi.

“Pelanggan dinasihatkan untuk tidak mempercayai, klik atau memberikan maklum balas terhadap cubaan-cubaan ini kerana ia mungkin merupakan satu usaha pancing data (phishing) untuk mencuri butiran peribadi dan maklumat perbankan yang sensitive,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun pengumuman kempen dipromosikan melalui saluran media sosial rasmi Bank Islam namun segala penyertaan, penghantaran maklumat dan penglibatan bagi kempen Al-Awfar hanya dijalankan melalui platform rasmi Bank Islam.

Semua penyertaan Al-Awfar yang sah akan diuruskan sepenuhnya melalui saluran ini sahaja.

Semua maklumat rasmi berkaitan kempen, promosi atau produk perbankannya hanya akan dikongsi melalui saluran rasmi iaitu
laman web rasmi: www.bankislam.com.dan akaun media social rasmi pihaknya.

Bagi memastikan keselamatan terus terpelihara, pelanggan dinasihatkan agar mematuhi langkah berjaga-jaga dan berhati-hati dengan pautan yang boleh diklik.

Hanya muat turun aplikasi BIMB Mobile dan BIMB Biz daripada Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Sentiasa log masuk ke akaun perbankan anda melalui platform rasmi Bank Islam:
a. Bagi pelanggan individu: Aplikasi perbankan BIMB Mobile atau web.bimb.com untuk perbankan Internet.
b. Bagi pelanggan perniagaan: Aplikasi perbankan mudah alih BIMB Biz atau eBanker Pro.

Sentiasa sahkan imej dan frasa keselamatan sebelum memasukkan kata laluan anda.

Jangan kongsi maklumat peribadi seperti log masuk atau kata laluan akaun dengan sebarang individu termasuk kakitangan Bank Islam.

Jika mengesyaki terdapat unsur penipuan, aktifkan fungsi Kill Switch yang terdapat dalam aplikasi BIMB Mobile untuk menghentikan akaun serta-merta bagi mengelakkan aktiviti tidak sah yang seterusnya.

Pelanggan yang ingin membuka akaun Bank Islam atau Al-Awfar secara dalam talian dinasihatkan untuk hanya menggunakan platform Virtual Account Opening (VAO) iaitu satu saluran yang selamat dan diiktiraf Bank.

VAO memastikan pengalaman pendaftaran akaun yang lancar dan selamat. Untuk mengakses platform tersebut, pelanggan boleh terus ke laman VAO di https://vao.bankislam.com.my.

Orang ramai dan pelanggan turut digesa untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan penyalahgunaan jenama Bank Islam atau aktiviti luar biasa berkaitan akaun mereka kepada Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900 atau e-mel ke [email protected] atau Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast