Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim yang dipengerusikan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) melancarkan Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL) semasa Sasana Symposium 2025 di Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempercepat pembangunan penyelesaian kewangan iklim yang inovatif.

Platform ini untuk mengenal pasti, membangunkan bersama dan melaksanakan penyelesaian kewangan iklim inovatif yang memperkukuh daya tahan iklim Malaysia.

CFIL memberikan tumpuan kepada empat bidang bertema utama, iaitu peralihan tenaga dan inovasi hijau, pertanian lestari, ekonomi kitaran dan bandar lestari, serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan biodiversiti.

Berdasarkan inisiatif dan projek rintis yang telah dijalankan sebelum ini, CFIL menandakan pencapaian penting Malaysia menuju matlamat kelestarian.

Seperti yang telah dibincangkan oleh ahli pleno JC3 dalam mesyuarat JC3 yang ke-14 pada bulan Januari tahun ini, CFIL merupakan platform kerjasama yang melibatkan sektor awam, swasta dan dermawan.

Pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen JC3 dalam memacu tindakan iklim yang memberikan impak melalui kerjasama strategik dan pembiayaan inovatif.

CFIL yang dikendalikan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) akan menggunakan pendekatan modular bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan yang berterusan dalam proses idea dan reka bentuk penyelesaian kewangan.

Pemilik projek yang layak akan mendapat akses kepada pembiayaan, bantuan teknikal dan rangkaian pihak kepentingan yang lebih luas untuk melaksanakan projek mereka.

Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed berkata, Malaysia amat memerlukan lebih banyak tindakan yang positif berhubung dengan alam semula jadi dan meningkatkan kewangan iklim.

Penglibatan sektor swasta yang lebih meluas adalah penting untuk mempercepat usaha berkaitan iklim ke arah pembangunan negara yang mampan.

CFIL bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam, swasta dan dermawan melalui struktur kewangan campuran, mekanisme yang inovatif dan instrumen kewangan Islam.

“Kami menyeru semua pihak berkepentingan untuk berganding bahu dalam usaha ini, demi memacu perubahan berimpak dan membina Malaysia yang berdaya tahan,” ujarnya.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Salmah Bee Mohd Mydin berkata, CFIL menjadi inkubator bagi projek-projek pemangkin yang sangat penting demi mencapai matlamat iklim negara, namun wujud cabaran untuk mendapatkan pembiayaan melalui saluran sedia ada.

Dengan sokongan JC3 dan industri kewangan, CFIL berperanan untuk menghubungkan pemilik projek dengan pelbagai penyumbang dana bagi meningkatkan penyelesaian
berkaitan iklim dan alam semula jadi di Malaysia, tambahnya. – MalaysiaGaazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast