JERANTUT – Sebuah projek komersial yang dinanti-nantikan sedang giat dibangunkan di tengah-tengah bandar Jerantut dikenali sebagai ‘Jerantut Square’ hasil usahasama Kumpulan Jaya Depan Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Projek ini bukan sekadar pusat beli-belah atau taman peruncitan, tetapi inisiatif menyeluruh untuk merancakkan denyut ekonomi setempat serta mengukuhkan industri pelancongan ke Taman Negara yang ikonik.
Dengan sokongan kerajaan negeri dan dilaksanakan pemaju swasta berpengalaman, Jerantut Square bakal menjadi simbol kemajuan Jerantut sebagai hab pelancongan di tengah Semenanjung Malaysia.
Jerantut yang merupakan daerah terbesar di negeri Pahang, meliputi kawasan seluas 755,772 hektar merupakan pintu masuk utama ke Taman Negara, antara hutan hujan tropika tertua di dunia yang hanya 50 kilometer dari pusat bandar.

Pada tahun 2023, lebih 139,000 pelancong berkunjung ke Taman Negara, jumlah ini dijangka terus meningkat malah Jerantut baru-baru ini dinamakan antara kawasan paling bahagia di Malaysia untuk tahun 2024 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Namun begitu, kekurangan kemudahan moden dan pembangunan komersial menghambat potensi sebenar daerah ini, di sinilah Jerantut Square muncul sebagai pemangkin perubahan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Pengarah Kumpulan Jaya Depan, Jason Tee, Jerantut Square ini dibangunkan bukan secara konvensional, tetapi dengan pendekatan berpandangan jauh.

“Saya telah berkecimpung dalam pembangunan sejak 2010. Pada awalnya, kami fokus kepada pembangunan perumahan tapi sejak tahun 2022, kami mula beralih kepada pembangunan komersial. Projek Jerantut Square ini adalah antara projek utama kami yang sedang berlangsung di pusat bandar Jerantut.
“Biasanya orang bangunkan dahulu, kemudian baru fikir siapa yang akan masuk. Tapi kami buat sebaliknya, kami mula dengan ‘penghujung dalam fikiran’.
“Bayangkan jenama besar seperti Coffee Bean, Family Mart, Chagee, Watson, Subway, Daily Coffee, Zus Coffee, Ninso, FOS, 7-11, Bowling Centre dan banyak lagi akan membuka cawangan mereka di Jerantut Square kelak. Mereka sudah menyatakan komitmen kerana yakin terhadap potensi kawasan ini, malah meletakkan Jerantut Square di landasan yang kukuh,” katanya membuka bicara.
Katanya lagi, Jerantut Square dibayangkan sebagai platform peruncitan dan gaya hidup moden yang menggabungkan pelbagai elemen seperti ‘hypermarket’, pusat sukan, kemudahan pandu (drive-thru), lot komersial dan ruang F&B serta infrastruktur pelancongan dan hospitaliti.

“Jerantut Square akan menjadi hentian utama pelancong. Mereka boleh makan, berehat, beli cenderamata, semua di satu tempat. Kami sasarkan lebih 200,000 pelancong setahun ke kawasan ini dalam masa terdekat,” kata Jason.
Lebih menarik, Jerantut Square bukan sahaja membawa pelaburan dan pembangunan, tetapi peluang pekerjaan yang signifikan kepada penduduk tempatan.
“Secara langsung, kami jangka akan wujud lebih 1,000 peluang pekerjaan daripada kedai, restoran dan pasar raya. Tidak langsung, kami jangka lebih 5,000 pekerjaan tambahan akan diwujudkan hasil limpahan pelancong seperti di sektor hotel, pengangkutan, dan perkhidmatan,” jelas Jason.
Kumpulan Jaya Depan, pemaju di sebalik Jerantut Square ini pernah menerima Anugerah Golden Bull 2023 – SME Cemerlang, bukti komitmen terhadap inovasi dan pembangunan berorientasikan komuniti.
Difahamkan, kerja pembinaan telah bermula pada tahun ini dan projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2026 dengan visi Jerantut Square bakal menjadi destinasi pelaburan, pelancongan dan kehidupan moden yang mengangkat nama daerah ini ke persada dunia satu hari ini. -MalaysiaGazette
















