Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Gawai di Kompleks Kerja Raya Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan hampir RM4 bilion bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan dan naik taraf jalan raya di seluruh negara setiap tahun .

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, peruntukan itu terlalu tinggi dan KKR perlu menggunakan peruntukan tahunan secara berperingkat untuk kerja tersebut.

Menurut beliau, pihaknya akan memberi keutamaan kepada jalan raya yang mengalami kerosakan kritikal untuk dibaiki segera.

“Kita sudah ada maklumat jalan dan tahu juga berapa keperluan dari segi kewangan kalau hendak elokkan semua jalan, kita memerlukan RM4 bilion.

“Jadi kita tidak ada kewangan sebegitu dan kita buat secara berperingkat dan memang kita sudah ada dalam data kita dan tahu jalan mana teruk.

“Sebab itu kita buat dalam peruntukan yang diberi dalam setahun ke setahun dan kita buat mana yang keutamaan dan keperluannya dan buat dahulu yang kritikal.

“Sebab ada yang rosak tidak berapa kritikal kita kemudiankan sikit dan buat yang mana kritikal dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Rumah Terbuka Pesta Gawai anjuran kementeriannya yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Beliau mengulas senarai jalan raya yang berbahaya dan berisiko tinggi kepada pengguna susulan kemalangan ngeri bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik dekat Tasik Banding, Gerik baru-baru ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh, menurun dan tidak mempunyai pencahayaan jalan.

Beliau turut berkata, tiada sebarang lampu jalan di kawasan terbabit kecuali berhampiran jambatan di Pulau Banding.

Namun Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menafikan dakwaan keadaan gelap di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik merupakan punca utama nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI awal pagi Isnin minggu lalu.

Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, pemeriksaan mendapati struktur dan permukaan jalan di lokasi kejadian berada dalam keadaan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast