Prof. dr Barjoyai Bardai

KUALA LUMPUR – Peningkatan drastik Malaysia sebanyak 11 anak tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 merupakan satu pencapaian cemerlang yang mencerminkan keberkesanan reformasi ekonomi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Pakar Ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai.

Malaysia kini berada di tangga ke-23, berbanding kedudukan ke-34 pada 2024, satu lonjakan besar dalam sejarah laporan tahunan yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) yang berpusat di Switzerland itu.

“Kita bukan sahaja pulih daripada kejatuhan tujuh anak tangga tahun lalu, tetapi kini melonjak lebih tinggi daripada kedudukan asal. Ini satu isyarat jelas bahawa pemulihan ekonomi negara bukan sahaja berlaku, malah dipacu dengan cukup meyakinkan,” kata Dr Barjoyai.

Beliau menjelaskan, peningkatan ini didorong oleh gabungan pelbagai faktor termasuk dasar fiskal berhati-hati, pelaksanaan subsidi bersasar, serta peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap landskap ekonomi negara.

Katanya, penyelarasan subsidi yang dikritik pada awal pelaksanaannya kini mula menunjukkan impak positif ke atas struktur ekonomi negara secara menyeluruh.

“Ia membuktikan bahawa usaha kerajaan memperkemas pengurusan fiskal dan mengutamakan ketelusan dalam perbelanjaan awam sedang membuahkan hasil,” katanya lagi.

Perkembangan terbaharu turut mengukuhkan lagi keyakinan ini apabila Perdana Menteri menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasinya semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Shell Global, Wael Sawan, di Pejabat Parlimen, Kuala Lumpur. 17 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

Hasil pertemuan menyaksikan Shell memberikan komitmen untuk menambah pelaburan melebihi RM9 bilion di Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas,” kata Perdana Menteri selepas pertemuan bermakna itu.

Tambah Perdana Menteri, pelaburan berimpak tinggi ini juga bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sejajar dengan pendekatan strategik Kerajaan MADANI untuk membina ekonomi yang stabil, mampan dan berdaya tahan demi generasi mendatang.

Sementara itu, Dr Barjoyai mengakui kesan langsung dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan kepada rakyat masih belum sepenuhnya dirasai untuk jangka pendek.

“Dalam jangka sederhana, rakyat akan mula merasai manfaat melalui peluang pekerjaan yang lebih luas dan peningkatan pendapatan, khususnya dalam sektor swasta,” katanya.

Beliau optimis bahawa kedudukan baharu Malaysia dalam WCR akan turut merangsang pasaran buruh serta memperkukuh ekonomi domestik, sekali gus mencipta kitaran pertumbuhan yang mampan.

“Apabila keyakinan pasaran bertambah, kita akan lihat peningkatan gaji sektor swasta seiring dengan prestasi ekonomi. Ini adalah langkah ke arah kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” tambahnya.

Kedudukan WCR dinilai berdasarkan prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur – di mana peningkatan Malaysia menunjukkan kemajuan menyeluruh dalam aspek-aspek tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast