Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) mengumumkan barisan pengurusan tertinggi akademik baharunya.

KUALA LUMPUR – Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) mengumumkan barisan pengurusan tertinggi akademik baharunya terdiri daripada cendekiawan terkenal, pemimpin pemikir dan profesional dengan rekod terbukti dalam transformasi institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor MEDIU, Datuk Dr Alhazmi Saeed Nowifea berkata, pelantikan itu melibatkan Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha selaku selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Inovasi) untuk memacu kecemerlangan akademik universiti dan penglibatan peringkat global.

Menurutnya, Kamal Nasharudin akan menyelia bidang utama seperti pengajaran dan pembelajaran, program akademik, kerjasama antarabangsa dan peluang mobiliti untuk memperkayakan pengalaman akademik di dalam dan di luar negara.

Ujar Alhazmi, timbalannya yang juga Timbalan Presiden Akademi Profesor Negara itu akan turut memainkan peranan penting membawa universiti bagi misi memajukan ilmu dan pembelajaran melalui kecemerlangan dalam penyelidikan dan pendidikan.

“MEDIU juga mengalu-alukan kehadiran Prof Ts. Dr Fatimah Ahmad sebagai Penolong Naib Canselor bagi menyelia dan memberi nasihat tentang hal-hal institusi, menyelaraskan tugas dalaman, melaksanakan inisiatif strategik dan menyumbang kepada perancangan jangka panjang termasuk pembangunan pelan tindakan 10 tahun.

“Selain itu, pelantikan baharu ini juga membabitkan Profesor Dr Abdullah Mohd Zin selaku Dekan Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat di mana semua ahli akademik yang dihormati ini memiliki purata pengalaman selama 40 tahun dan telah memimpin institusi pengajian tinggi terkenal di seluruh negara.

“Kehadiran mereka di MEDIU menandakan fasa transformatif dipacu visi, keupayaan tinggi dan komitemen tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan akademik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MEDIU yang ditubuhkan sejak 2007 merupakan sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam sebelum berpindah ke Kampus Utama di Desa Petaling pada 2018.

IPT swasta itu kini mempunyai lebih 3,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian terdiri 93 buah negara dengan penyediaan lebih 94 kursus akademik yang telah memperolehi akradetasi dari Agensi Kelayakan Malaysia.

MEDIU yang ditubuhkan hasil kerjasama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi adalah sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali peneraju universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Naib Canselor MEDIU, Datuk Dr Alhazmi Saeed Nowifea.

Mengulas lanjut, Alhazmi berkata, bagi pengambilan baharu pada September ini, MEDIU mengambil inisiatif memperkenalkan Program Asasi percuma bagi menarik lebih ramai pelajar tempatan dengan sasaran peningkatan sebanyak 20 peratus.

Menurutnya, universiti antarabangsa itu juga menawarkan pakej lawatan pendidikan dan kerohanian percuma ke Kerajaan Arab Saudi untuk program sarjana muda termasuk kursus bahasa Arab, pengalaman meneroka budaya dan peluang menunaikan umrah.

“Tawaran ini tertakluk pada terma dan syarat dan ia merupakan tanda ikhlas penghargaan kepada masyarakat Malaysia atas sokongan berterusan selain satu peluang keemasan kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan Islam bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar negara.

Sementara itu, tahun lalu, MEDIU mencipta nama dalam dunia pendidikan tinggi negara dengan pencapaian yang membanggakan dalam QS Asia University Rankings 2025 menerusi Penunjuk Pelajar Antarabangsa.

Universiti berkenaan telah berjaya menjadi destinasi menarik untuk pelajar antarabangsa dengan menduduki tempat kedua antara 10 Universiti Terbaik di Asia melibatkan penunjuk bagi Pelajar Antarabangsa dan Fakulti Antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast