Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesihatan dan kesembuhan presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Marang itu telah selamat menjalani satu prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

“Pas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan pakar dan petugas kesihatan di IJN atas kejayaan menjalankan prosedur rawatan ke atas Tan Sri Tuan Guru seperti yang telah dirancang tanpa sebarang komplikasi.

“Kepakaran, kecekapan serta komitmen tinggi di pihak IJN amatlah kami hargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pas turut menyeru seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kesejahteraan negara serta perlindungan daripada sebarang bencana, malapetaka dan wabak penyakit.

“Semoga negara kita dan seluruh rakyatnya sentiasa berada dalam kesejahteraan di bawah lindungan Tuhan, Insya-Allah,” katanya lagi.

Abdul Hadi sebelum ini pernah menerima rawatan susulan di IJN dengan kali terakhir dilapor menjalani rawatan berkaitan pada 5 Januari tahun lalu.

Beliau sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali, termasuk pada 2014 dan 2021 kerana sesak nafas dan pada 2023 kerana mengalami demam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast