Tertuduh, Chun Kok Keong, 38 bagaimanapun membuat pegakuan tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan Jurubahasa di hadapan Majistret Tan Chiew King.

TEMERLOH – Seorang pegawai khidmat pelanggan berdepan empat pendakwaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah serta melanggar dua remaja perempuan sehingga mati.

Tertuduh, Chun Kok Keong, 38, bagaimanapun membuat pegakuan tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan Jurubahasa di hadapan Majistret Tan Chiew King.

Bagi pertuduhan pertama, Kok Keong didapati memiliki dadah merbahaya jenis heroin anggaran seberat 0.85 gram pada 12 Jun pada pukul 12.30 di hadapan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 1998 Akta A 1025 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta sama di mana dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Kok Keong didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat anggaran 50.58 gram yang dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Bagi kes kesalahan mengedar dadah, tiada pengakuan dibuat memandangkan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kok Keong turut mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan memandu kereta dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada dua individu, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, pada pukul 10.50 malam pada 11 Jun lepas di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Kes hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin dan Siti Sarah Aqilah Lokman manakala tertuduh diwakili wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Fatimah Mohd Shahril sementara lantikan peguam dibuat.

Adriana mencadangan wang jaminan berjumlah RM6,000 dikenakan ke atas tertuduh bagi pertuduhan pertama.

Bagaimanapun, Siti Fatimah memohon majistret agar wang jaminan rendah dikenakan berikutan tertuduh yang masih bujang hanya memperoleh pendapatan sebulan sebanyak RM3,000 dan perlu menyara ibunya yang telah lanjut usia.

Justeru, mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM4,500 terhadap tertuduh dan menetapkan 18 September depan bagi laporan kimia dan lantikan peguam.

Bagi dua pertuduhan memandu kereta dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian pula, Adriana memohon jumlah ikat jamin sebanyak RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur itu.

Namun Chiew King membenarkan wang ikat jamin berjumlah RM18,000 bagi kedua-dua kesalahan selain lesen memandu tertuduh digantung berkuatkuasa hari ini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu pula, tarikh 17 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Bagaimanapun, Kok Keong tidak boleh diikat jamin hari ini berikutan telibat dengan kesalahan yang tidak boleh dijamin membabitkan dakwaan mengedar dadah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua remaja maut motosikal dirempuh kereta di lampu isyarat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast