LANGKAWI – Lima perkara utama dipersetujui dalam Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang berlangsung selama dua hari, di sini, sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama pendidikan tinggi di peringkat serantau.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, persidangan berkenaan bukan sahaja menzahirkan komitmen bersama dalam membangunkan pendidikan tinggi ASEAN, malah turut memperlihatkan peranan aktif Malaysia dalam mengetuai agenda penting rantau ini.
Jelas beliau, antara yang dipersetujui termasuk usaha memperluas mobiliti pelajar dan ahli akademik melibatkan pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik antara institusi pendidikan tinggi di ASEAN.
Katanya, langkah ini dilihat penting untuk memperkukuh perkongsian ilmu serta kefahaman antara budaya dalam kalangan generasi muda rantau ini.
“Persidangan turut bersetuju menubuhkan ASEAN GEM Platform yang berfungsi sebagai platform penyelarasan dana biasiswa kepada pelajar dari negara anggota. Platform ini dijangka menjadi sumber pembiayaan berpusat dalam membantu pelajar ASEAN melanjutkan pengajian merentas negara.
“Selain itu, satu pelan tindakan (roadmap) dan pelan kerja (work plan) pendidikan tinggi ASEAN turut dibangunkan, yang akan diselaraskan oleh Sekretariat ASEAN di Jakarta.
“Antara lain yang dipersetujui termasuk mewujudkan jawatankuasa pemandu (steering committee) yang terdiri daripada wakil setiap negara bagi merangka dan memantau pelaksanaan pelan tersebut,” katanya pada sidang media selepas selesai persidangan meja bulat tersebut.
Tambah Zambry, persidangan juga bersetuju mewujudkan sistem sokongan kepada graduan bagi memudahkan pergerakan mereka dalam pasaran pekerjaan serantau.
Katanya, usaha ini dijangka menyumbang kepada pengiktirafan kepakaran rentas sempadan dan memperkukuh kebolehpasaran graduan ASEAN.
“Negara-negara anggota turut bersetuju menubuhkan platform kerjasama institusi pendidikan tinggi ASEAN, melibatkan universiti dan politeknik.
“Langkah ini disokong oleh pelancaran portal Global ASEAN yang bertindak sebagai hab digital untuk kolaborasi pendidikan, penyelidikan dan peluang pekerjaan di seluruh ASEAN,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry memaklumkan pihaknya turut mencadangkan penubuhan sebuah institut khusus ASEAN yang komprehensif bagi menghimpunkan kepakaran dari seluruh rantau dengan menawarkan Malaysia sebagai tuan rumah kepada institut tersebut.
“Cadangan ini sedang diperhalusi dan satu nota konsep akan dikemukakan kepada semua negara anggota untuk dipertimbangkan di peringkat Sekretariat ASEAN.
“Segala perkara yang dicapai dalam persidangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN yang dijadual berlangsung Oktober ini untuk diterima pakai sebagai sebahagian daripada kerangka kerjasama ASEAN dalam pendidikan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















