JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor berbincang dengan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia bagi meneroka kerjasama strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan di negeri ini menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk kemas kini Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan (Cross Border Travel Agreement) serta pelaksanaan kempen promosi pelancongan secara lebih inklusif melalui kerjasama dengan Tourism Johor.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertemuan itu turut menyentuh potensi kerjasama rentas sempadan antara Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dan Singapura bagi memudah cara pergerakan pelancong serta rakyat kedua-dua negara.
“Cadangan turut dikemukakan bagi mewujudkan satu platform digital dan fizikal untuk mengetengahkan lokasi pelancongan menarik di Johor. Usaha ini diyakini akan memudahkan pelancong mendapatkan maklumat sama ada secara dalam talian mahu pun luar talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, Inisiatif tersebut dijangka memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada rakyat negeri ini.
“Kerajaan Negeri Johor yakin kolaborasi ini bakal melonjakkan imej Johor sebagai sebuah negeri moden, terbuka dan bersedia menerima kedatangan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.
Tahun Melawat Johor 2026 disasarkan sebagai kemuncak promosi sektor pelancongan negeri menerusi pelbagai acara, pameran dan promosi dalam dan luar negara.- MalaysiaGazette
















