Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mungkin diselaraskan semula ke atas beberapa barangan import terpilih termasuk buah-buahan tertentu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana terdapat buah-buahan seperti epal dan limau Mandarin yang tidak dikeluarkan di negara ini namun diimport sepenuhnya dari luar.

“Saya berpandangan munasabah untuk dilihat semula dan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang meneliti perkara ini,” katanya selepas majlis sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed yang menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah import sebagai ‘tidak masuk akal’ memandangkan barangan itu turut digunakan rakyat berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan mengambil kira pendapat Ameer Ali itu kerana melibatkan beberapa keperluan rakyat terhadap buah import.

“Hasil cukai buah kepada negara pun tidak begitu tinggi, jadi kalau dikenakan SST maka harganya akan meningkat.

“Saya tahu tujuannya (SST) adalah untuk melindungi buah tempatan, tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau Mandarin,” katanya.

Sebelum ini, hasi tinjauan MalaysiaGazette mendapati langkah kerajaan memasukkan buah-buahan import dalam senarai SST merupakan sesuatu yang tidak wajar dilakukan sedangkan ia sudah menjadi makanan rakyat sejak berdekad lamanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast