Lelaki Pakistan, Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru har ini atas pertuduhan memberi suapan kepada penguat kuasa

JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada tahun lalu.

Tertuduh, Samar Iqbal, 30, yang merupakan lelaki warga Pakistan dan Shah Alam, 53, lelaki warga Bangladesh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Kamal Arifin Ismail.

Bagi kes Samar, dia didakwa memberi wang tunai berjumlah RM680 kepada Syed Hanif Syed Nasir dari Jabatan Penguatkuasaan MBIP pukul 3.25 petang pada 9 November 2024.

Suapan tersebut diberikan sebagai balasan agar tiada tindakan dikenakan terhadap tertuduh yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis BK Briyani House, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

Untuk itu, dia didakwa mengikut UUK 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBIP 2018 serta Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia memandangkan tertuduh bukan warganegara.

Bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira status tertuduh yang telah berkahwin dengan warganegara Malaysia sejak 2020 dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

Mahkamah dimaklumkan tertuduh dan isterinya mengusahakan kedai makan, BK Beriani House di Kempas, Johor Bahru dengan sijil SSM yang berdaftar atas nama isterinya dan meraih keuntungan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM2,000.

Peguam turut menjelaskan anak guamnya tiada sebab untuk melarikan diri kerana tinggal bersama-sama keluarga dan mempunyai perniagaan tetap di Malaysia selain berjanji hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dalam bentuk cagaran wang tunai yang perlu disimpan dalam buku simpanan bank mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi.

Sementara itu, Shah didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada Mohd Syahrul Azmi Kamaluddin juga Pengkuat Kuasa MBIP pukul 12 tengah hari, pada 24 September 2024.

Perbuatan itu didakwa dilakkan di Jalan Bioteknologi 1, Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri sebagai dorongan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan UUK 3(1), Undang-Undang Kecil MBIP 2018 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia atas faktor tertuduh bukan rakyat tempatan.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Salleh Togimi memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang anak, dua adik dan isteri yang tidak bekerja.

“Tertuduh bekerja sebagai buruh kasar di Malaysia sudah lebih 10 tahun dengan pendapatan RM1,700 hingga RM1,800 sebulan. Dia juga tinggal bersama-sama keluarga di Iskandar Puteri dan mempunyai rakan warganegara yang bersedia menjadi penjamin.

“Kami berpendapat jumlah jaminan RM5,000 adalah agak tinggi memandangkan keadaan kewangan tertuduh yang terhad. Anak guam kami hanya mampu membayar RM2,000 jika dibenarkan oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia terhadap tertuduh.

Hakim turut menetapkan 22 Julai ini sebagai tarikh serahan semula dokumen berkaitan kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast