MELAKA – Hasil keputusan bedah siasat terhadap bayi lelaki berusia tiga bulan yang maut akibat dihempap lengan bapanya di rumahnya pagi tadi menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada paru-parunya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kecederaan dialami mungkin impak daripada situasi tertindih sehingga menyukarkan bayi untuk bernafas.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Dr. Muhammad Khairul Afizal ke atas bayi tersebut mendapati paru-paru mangsa mengalami kecederaan.
“Ia kemungkinan akibat tertindih oleh tangan bapanya serta menyukar bayi untuk bernafas,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambahnya, hasil bedah siasat diklasifikasikan sebagai ‘pending laborotary investigation’ dan beberapa sampel telah diambil untuk ujian toksikologi ke Jabatan Kimia Melaka.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan Nur Muhammad Danial Nuruleffendy, 3 bulan, lemas dipercayai akibat ditindih lengan bapanya Nuruleffendy Ibrahim, 35, yang menemui ajal selepas terkena serangan jantung.
Kejadian berlaku di rumahnya di Kampung Perigi Hang Tuah, Duyong, di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri oleh isterinya, Azura Abdul Malik, 37, yang pulang ke rumah untuk membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapatkan suntikan bayi di klinik kesihatan. – MalaysiaGazette
















