KUALA LUMPUR – Malaysia merupakan antara negara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling rendah di dunia iaitu sekitar 12 peratus.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia bermakna ruang penjanaan hasil masih sempit dan peluasan cukai diperlukan demi memastikan kelanjutan fiskal negara.
Namun kata beliau, prinsip utama kerajaan jelas di mana beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak.
“Sebaliknya, hasil cukai digunakan semula untuk program yang pro-rakyat termasuk M13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan sembilan juta penerima.
“RM400 juta untuk baik pulih klinik-klinik usang dan lebih RM600 juta untuk membaiki lebih 8,000 tandas sekolah memberi manfaat kepada lebih lima juta pelajar serta pelbagai lagi inisiatif baik untuk rakyat yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan.
“Inilah asas sebenar kepada setiap dasar Kerajaan Madani iaitu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pendekatan yang bertanggungjawab dan menyeluruh,” katanya melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Tunku Nashrul menambah, segala angka dan pengiktirafan itu tidak bermakna sekiranya tidak memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri, setiap kejayaan mesti membawa manfaat kepada rakyat.
“Inilah manifestasi sebenar #MADANIBekerja – bukan sekadar slogan tetapi satu gerakan reformasi yang diteruskan, ditambah baik dan diterjemah dalam bentuk hasil yang dapat dirasai rakyat terbanyak,” katanya. – MalaysiaGazette
















