KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan fatwa terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) disifatkan sebagai satu isyarat membimbangkan terhadap kedudukan autoriti institusi agama Islam di negara ini.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, keputusan tersebut bukan hanya bersifat perundangan tetapi memberi kesan terhadap prinsip-prinsip agama dan kedudukan institusi fatwa di Malaysia.
“Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada tahun 2014 bukan dibuat secara semberono.
“Ia merupakan hasil penelitian terhadap pandangan dan pendirian SIS yang dilihat bercanggah dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Namun, hari ini fatwa itu dibatalkan bukan kerana kebenaran hujah agama, tetapi disebabkan tafsiran undang-undang sivil terhadap siapa yang terikat dengan fatwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perubahan itu menimbulkan kebimbangan bahawa fatwa selepas ini mungkin hanya terpakai kepada individu dan tidak lagi melibatkan organisasi.
Selain itu, keputusan mahkamah sivil juga dilihat berpotensi menjadi penentu akhir dalam perkara berkaitan akidah umat Islam.
Kuasa mufti dan institusi fatwa turut dilihat semakin terdedah kepada cabaran apabila setiap keputusannya boleh dipertikaikan atas alasan teknikal perundangan.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan bahawa Islam bukan semata-mata urusan peribadi, sebaliknya agama yang mempunyai dimensi sosial dan kenegaraan.
“Apabila pihak yang diketahui membawa pemikiran liberal dan relativis dalam agama dibela atas nama prosedur perundangan, kita tidak boleh berdiam diri.
“Ini bukan hanya isu SIS. Ini soal maruah Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan institusi fatwa,” tambahnya.
Justeru, Pemuda PAS Selangor menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan autoriti agama dan institusi mufti agar tidak dinyahkan satu demi satu atas alasan teknikal mahkamah.
“Islam bukan sekadar agama ritual peribadi yang boleh disesuaikan dengan kehendak semasa. Ia agama yang mempunyai prinsip, disiplin dan sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Fatwa sesat, menyeleweng tidak terpakai pada SIS Forum -Mahkamah Persekutuan
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















